Options
Simbol Alam Sebagai Representasi Maqam Ma‘Rifah dalam Antologi ‘Ayn Karya Kemala: Analisis Terjemahan dan Sufistik
Date Issued
2025
Abstract
Karya Sufi dikenali sebagai sebuah karya yang sarat dengan kepelbagaian simbol sebagai representasi maqamat Sufi. Namun, didapati bahawa perbahasan tentang puisi Moden di Malaysia masih kurang menyentuh tentang simbol dan maqamat Sufi ini. Oleh itu, kajian ini akan mengkaji simbol alam sebagai representasi maqam ma‘rifah dalam antologi puisi ‘Ayn karya Kemala. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti simbol alam sebagai representasi maqam ma’rifah, kemudian menganalisis proses penterjemahan simbol tersebut ke bahasa Arab dari segi pemindahan makna dan nuansa ma’rifah, seterusnya menyingkap implikasi proses penterjemahan terhadap elemen maqam ma’rifah dalam teks sasaran. Bagi mendapatkan data, Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan mengaplikasi kaedah analisis teks. Kajian memilih antologi puisi ‘Ayn sebagai data primer, seterusnya menjalankan analisis deskriptif-analitik terhadap elemen maqam ma’rifah yang dikemukakan dalam antologi tersebut bagi menelusuri makna literal dan kontekstual. Kajian menganalisis puisi ini dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa sumber (BSU) dan bahasa Arab sebagai bahasa sasaran (BSA). Melalui analisis terhadap beberapa puisi pilihan, dapatan kajian menunjukkan bahawa penyair menggunakan simbol alam seperti angin, sungai, air, gurun, taman dan gemulung laut sebagai representasi maqam ma'rifah. Walaupun terjemahan bahasa Arab berjaya menyampaikan makna umum puisi, namun terdapat kehilangan nuansa retorik seperti metafora, simbolisme, dan kedalaman gambaran pengalaman sufistik yang menjadi teras kepada maqam ma’rifah. Ini menunjukkan bahawa penterjemahan puisi sufistik bukan sahaja memerlukan kecekapan linguistik, tetapi juga pemahaman mendalam terhadap falsafah dan pengalaman tasawuf dari kaca mata seorang salik. Kepentingan kajian terletak pada sumbangannya dalam memperkaya kritikan sastera Melayu dari perspektif sufisme dan terjemahan, serta membantu pelestarian nilai spiritual dalam karya sastera Melayu-Islam.
File(s)
Loading...
Name
Simbol Alam Sebagai Representasi Maqam Ma‘Rifah dalam Antologi ‘Ayn Karya Kemala.pdf
Size
683.89 KB
Format
Adobe PDF
Checksum
(MD5):22801211f92a676b8891ab75094427ca