Publication:
Model Pusat Sehenti Pengurusan Harta Pusaka Islam (Faraid)

Research Projects

Organizational Units

Journal Issue

Abstract

Faraid merupakan sebuah sistem pengurusan harta selepas kematian yang dianjurkan oleh Islam. Di Malaysia, bidang kuasa hal ehwal Islam termasuk pengurusan harta pusaka adalah terletak di bawah kuasa pentadbiran negeri. Walau bagaimanapun, sistem pengurusan harta pusaka pada masa kini dilihat masih memerlukan kepada penambahbaikan dan transformasi dari sudut pengurusan dan pentadbirannya. Anggaran sebanyak RM60 bilion harta masih belum dituntut disebabkan oleh kesedaran masyarakat tentang pengurusan harta pusaka masih lagi di tahap yang rendah di samping kekeliruan dengan wujudnya pelbagai agensi yang menguruskan harta pusaka. Justeru, pembangunan model pusat sehenti pengurusan harta pusaka atau FOSC (Faraid One-Stop Centre) ini merupakan sebuah inisiatif yang dibangunkan untuk memudahkan masyarakat menyelesaikan masalah berkaitan harta pusaka dengan lebih efisien. Model pusat sehenti pengurusan harta pusaka (FOSC) ini menyatukan semua agensi-agensi yang terlibat dengan pengurusan harta pusaka di bawah satu pusat bagi memudahkan pengurusan harta pusaka. Model FOSC terdiri daripada lima agensi iaitu Faraid USIM Consultant (FUSACA), Bahagian Harta Pusaka Kecil, Amanah Raya Berhad, Majlis Agama Islam Negeri dan Agensi Guaman & Perundingan. Faraid USIM Consultant (FUSACA) dijadikan agensi yang berperanan penting dalam membuat keputusan dan memberi khidmat nasihat kepada pelanggan. Manakala, Bahagian Harta Pusaka Kecil sebagai agensi yang merekod kes yang dipohon dan diselesaikan dan Amanah Raya Berhad merupakan agensi yang menguruskan hal yang melibatkan harta alih dan mengeluarkan Akuan atau Arahan bagi harta alih. Majlis Agama Islam Negeri menyediakan khidmat pengiraan jumlah nilaian dan bahagian harta pusaka dan Agensi Guaman & Perundingan sekiranya pelanggan memerlukan khidmat peguam atau nasihat. Model FOSC ini boleh menjadi rujukan dan panduan kepada agensi berwajib berkaitan harta pusaka dalam mewujudkan pusat sehenti di negeri masing-masing. Model FOSC ini juga amat diyakini dapat memperkasakan pengurusan harta pusaka di Malaysia dan secara langsung dapat memudahkan masyarakat menguruskan harta pusaka secara mudah dan sahih.

Description

Keywords

Pusat Sehenti, Faraid, Harta Pusaka, Model, Efisien

Citation