Publication:
Faedah Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah MS 1900 Di Darul Quran, JAKIM

Research Projects

Organizational Units

Journal Issue

Abstract

Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah MS 1900 bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan urus tadbir organisasi menerusi pematuhan kepada keperluan syariah (shariah compliance) dan penerapan nilai-nilai Islam dalam pengurusan kualiti organisasi. Semenjak dilancarkan pada tahun 2005, semakin banyak organisasi sama ada dari sektor awam atau korporat yang telah berjaya mendapatkan pensijilan kualiti MS 1900. Pelbagai manfaat yang diperolehi daripada pelaksanaan MS 1900 ini menjadikannya sebagai satu pendekatan berkesan dalam usaha meningkatkan kualiti pengurusan di sesebuah organisasi. Objektif kajian empirikal ini adalah untuk mengenalpasti faedah-faedah yang dicapai melalui pelaksanaan MS 1900 di institusi pengajian tinggi yang berstatuskan Islam iaitu Darul Quran, JAKIM. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini adalah melalui pendekatan kualitatif (kajian kes) dengan mengaplikasikan kaedah pengumpulan data secara triangulasi iaitu menerusi temu bual separa-berstruktur, dokumentasi serta pemerhatian. Seramai lapan orang warga kerja Darul Quran daripada pelbagai jawatan telah dipilih sebagai informan dalam kajian ini. Data-data pula telah dianalisis menggunakan kaedah analisis tematik bagi membina kod-kod serta tema-tema berkenaan dengan isu yang dikaji. Dapatan kajian menunjukkan terdapat lima faedah yang telah diperolehi Darul Quran JAKIM apabila berjaya melaksanakan MS 1900 iaitu mewujudkan budaya kerja cemerlang, pengamalan nilai-nilai Islam, pengurusan yang sistematik, meningkatkan imej Darul Quran dan meningkatkan kualiti pelajar. Oleh kerana kajian berkaitan MS 1900 masih lagi kurang dijalankan, maka hasil kajian ini secara langsung telah menyumbang kepada pembangunan ilmu berkaitan pelaksanaan MS 1900 di institusi pengajian tinggi Islam. Hasil kajian ini boleh dijadikan sebagai pemangkin kepada para pengurus sama ada di sektor awam mahupun korporat dalam hasrat untuk mengaplikasikan Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah MS 1900 di organisasi masing-masing.

Description

Vol. 6 No. 3 (2021): Special Issue

Keywords

MS 1900, Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah, Institusi Pengajian Tinggi Islam, Faedah

Citation

Zakaria, M. F. ., Basir, S. A. ., & Md Rasip, O. . (2021). Faedah Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah MS 1900 Di Darul Quran, JAKIM: The benefits of Syariah Based Quality Management System 1900 in Darul Quran, JAKIM . Sains Insani, 6(3). https://doi.org/10.33102/sainsinsani.vol6no3.146