Publication: Hadis Fada’Il Al-Suwar Sebagai Motivasi Tadabbur Al-Qur’An: Kajian Perbandingan Antara Ibn Kathir Dan Al Tha’Alibiy Dalam Tafsir Surah Al-Baqarah
Loading...
Date
2020-10-29
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Islam Malaysia
Abstract
Fadilat surah atau ayat dalam Quran merupakan suatu cabang daripada perbahasan ilmu-ilmu
berkaitan Quran. Dalam masa yang sama ia juga terkandung dalam kitab-kitab hadis sebagai
sebahagian dari topik utama periwayatan daripada baginda Rasulullah SAW serta para sahabat r.a.
Dalam ilmu tafsir, nukilan riwayat mengenai fadilat ayat dan surah menjadi sebahagian dari tumpuan
para mufasir bagi melengkapkan tafsiran mereka terhadap sesuatu ayat mahupun surah. Tradisi ini
berkembang secara konsisten dan berstruktur sehingga menjadikan nukilan riwayat berkaitan fada’il
sebagai sebahagian dari komponen utama mukadimah tafsir sesuatu surah dalam kitab-kitab tafsir
termasyhur. Walau bagaimanapun, dalam konteks ini beberapa isu timbul dalam kalangan pengkaji
terutama berkaitan kualiti hadis atau riwayat yang dipaparkan. Selain itu, hubungkait antara fadilat
yang disebut dalam sesuatu hadis atau riwayat dengan kandungan serta objektif surah berkenaan
turut menarik perhatian untuk dikaji, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk mencerap, menyerap serta
menerapkannya dalam amalan hidup harian sehingga membentuk sebuah nilai diri unggul berteras
Quran seperti yang digambarkan oleh Sayyidatuna Aishah r.a mengenai sahsiah Rasulullah SAW
sebagai sebuah peribadi Quran, serta seperti yang disifatkan oleh Sayyid Qutb r.a mengenai
keperibadian generasi para sahabat r.a sebagai sebuah jil Qura’an farid (generasi Quran yang unik).
Objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji, menilai dan merumuskan metode pemilihan hadis
dua tokoh mufasir terkemuka dari aliran tafsir berasaskan riwayat iaitu Ibn Kathir dan al-Tha’alibiy
dalam kitab tafsir mereka serta pendekatan mereka dalam menggabungjalinkan maksud hadis atau
riwayat berkenaan dengan kandungan serta objektif surah dalam konteks menarik perhatian para
audiens untuk mencerap, menyerap serta menerapkannya dalam diri masing-masing dengan erti kata
yang dimaksudkan sebagai tadabbur al-Qur’an. Kajian ini adalah berasaskan penelitian terhadap
kedua-dua kitab tafsir dua tokoh ini serta kitab-kitab utama hadis sebagai sumber primer dan kitab kitab takhrij serta tahkik hadis sebagai sumber sekunder seterusnya kajian-kajian lain berkaitan
kedua-dua tokoh ini, metodologi tafsir, tadabbur al-Qur’an dan lain-lain sebagai pelengkap. Antara
jangkaan dapatan utama kajian ialah hadis dan riwayat berkaitan fada’il suwar sangat penting dalam
menarik perhatian audiens untuk mengkaji dan mengahayati kandungan sesuatu surah, namun setiap
mufasir atau pengkaji perlu bijak dalam menyaring, memilih dan mempersembahkannya. Selain itu,
para mufasir atau pengkaji juga perlu kreatif dalam menganalisis hubungkait fadilat sesuatu surah
seperti yang terkandung dalam sesuatu riwayat dengan kandungan tersurat atau tersirat surah
berkenaan, bagi membentuk keperibadian serta sahsiah audiens selari dengan maqasid al-Qur’an.
Description
Proceedings of the 7th International Prophetic Conference (SWAN) 2020
FPQS,Universiti Sains Islam Malaysia, 29-30 October 2020
Paper No. BM009
242 - 263
Keywords
Fada’il Suwar,, Ibn Kathir,, al-Tha’alibiy,, tadabbur,, Quran.