Publication:
Faktor Penyumbang Kepada Kelakuan Tidak Berintegriti: Persepsi Pesalah Laku Jenayah Integriti Belia Di Jabatan Penjara

Research Projects

Organizational Units

Journal Issue

Abstract

Al-Quran menjadi pedoman utama yang dirujuk oleh generasi para sahabat Rasulullah sehingga membentuk generasi Khaira Ummah, yang bermaksud generasi terbaik dan terpilih. Sebagai generasi muda pemacu pembangunan negara, belia perlu memperkukuhkan nilai integriti sebagai sebahagian daripada budaya dalam kehidupan seharian, mengikuti perilaku dan jejak langkah generasi Khaira Ummah. Malangnya masih terdapat belia yang terjerumus dengan kes jenayah dan tidak berintegriti. Faktor-faktor berlakunya kelakuan tidak berintegriti dalam kalangan belia boleh dijelaskan dengan Teori Fraud Diamond yang terdiri daripada (i) Tekanan; (ii) Peluang; (iii) Rasionalisasi; (iv) Kemampuan. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk meneliti sama ada faktor yang dinyatakan oleh Teori Fraud Diamond boleh mempengaruhi kelakuan tidak berintegriti dalam kalangan pesalah laku belia. Kajian dilaksanakan dengan kaedah temu bual bersama sepuluh pesalah laku integriti belia yang berumur antara 18 hingga 40 tahun yang menjalani hukuman di Penjara Kajang. Analisis tematik telah dilakukan terhadap data kajian yang diperolehi. Kajian mendapati ke empat-empat faktor Fraud Diamond menjadi pendorong kepada belia melakukan jenayah salah laku integriti. Kajian juga menemui tiga faktor tambahan yang mendorong belia untuk melakukan jenayah salah laku integriti iaitu kurangnya pengetahuan mengenai SOP dalam mengendalikan kes berkaitan etika kerja, kelemahan budaya kerja beretika dan kepimpinan yang kurang beretika. Sebagai implikasi kajian, dengan memahami faktor penyebab kelakuan tidak berintegriti serta faktor persekitaran organisasi seperti adanya budaya kerja beretika, kepimpinan yang beretika serta penghayatan yang tinggi dalam menjalankan tugas mengikut garis panduan kerja beretika, organisasi dapat mengurangkan kelakuan tidak berintegriti di kalangan pekerja.

Description

Keywords

perlakuan tidak berintegriti, pesalah laku penjara, Fraud Diamond Theory, faktor persekitaran organisasi, pekerja organisasi

Citation