Publication:
Pendirian Generasi Muda Terhadap Penggunaan Bahasa Melayu Sebagai Wadah Patriotisme di Malaysia

Research Projects

Organizational Units

Journal Issue

Abstract

Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah muncul sebagai lingua franca ratusan tahun yang lalu sekali gus merupakan refleksi kepada kehebatan dan ketinggian darjat bahasa tersebut. Lingua franca merujuk kepada bahasa perantara atau bahasa perhubungan antara masyarakat dengan golongan yang berlainan bahasa. Hal ini bermaksud bahasa Melayu merupakan bahasa pergaulan yang mudah dipelajari dan difahami oleh sesiapa sahaja. Lantaran itu, bahasa tersebut berupaya bertindak sebagai jambatan ke arah pengharmonian dan perpaduan dalam kalangan para penuturnya kerana keserasian serta kesefahaman mereka melalui satu bahasa pertuturan yang sama. Kehebatan bahasa Melayu juga turut terserlah apabila perjanjian- perjanjian penting antara pihak penjajah dengan Raja-raja Melayu turut dibuat dalan bahasa Melayu bertulisan jawi seperti Perjanjian Pangkor 1874. Malah ketika zaman penjajahan, bahasa Melayu tidak pernah dihapuskan oleh penjajah. Seterusnya status bahasa Melayu telah diangkat sebagai salah satu daripada elemen-elemen tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan. Situasi ini memaparkan bahasa Melayu merupakan sumber jati diri yang kukuh serta berupaya membentuk semangat patriotisme setiap penuturnya yang bergelar rakyat Malaysia. Namun realiti yang berlaku agak berbeza apabila terdapat sebilangan warganegara yang fasih berbahasa Melayu telah memaparkan sikap tidak patriotik mereka secara terang-terangan, terutamanya melalui media sosial. Justeru, kajian ini dilakukan secara kuantitatif untuk meneliti pendirian generasi muda di negara ini terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai wadah semangat patriotisme. Responden kajian ini terdiri daripada 400 mahasiswa Universiti Putra Malaysia dan 400 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris. Hasil kajian memaparkan majoriti responden berpendirian bahawa bahasa Melayu sememangnya berupaya bertindak sebagai wadah patriotisme.

Description

Vol. 5 No. 2 (2020): Jurnal Sains Insani

Keywords

bahasa Melayu, patriotisme, unsur tradisi Perlembagaan Persekutuan

Citation

Ku Samsu, K. H., Adnan, Z. H., Ismail, M. M., Lee, Y. F., Ab Majid, A., & Ab Razak, R. R. (2020). Pendirian Generasi Muda Terhadap Penggunaan Bahasa Melayu Sebagai Wadah Patriotisme di Malaysia: Youths Stand on the Use of Malay Language as a means of Patriotism in Malaysia. Sains Insani, 5(2), 17-24. https://doi.org/10.33102/sainsinsani.vol5no2.205