Publication: Pentafsiran Imam Al-Shafi’I Berasaskan Sunnah Dalam Konteks Ayat Ayat Taharah Dalam Kitab Al-Umm
Date
2020-10-29
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Islam Malaysia
Abstract
Imam al-Shafi’i merupakan antara tokoh fiqh yang terkemuka dalam dunia kesarjanaan Islam. Beliau
tersenarai sebagai salah seorang mujaddid ummah lantaran sumbangan agung dalam bidang fiqh yang bersumberkan al-Quran, Sunnah, Qiyas dan Ijma’. Dalam karya utamanya al-Umm, terdapat pentafsiran al-Quran berasaskan Sunnah yang menjadi landasan perbahasan fiqh atau cabang perbahasan. Objektif kajian ini adalah untuk menerangkan bentuk pentafsiran Imam al-Shafi’i yang berasaskan Sunnah terhadap ayat-ayat taharah yang menjadi permulaan kandungan kitab al-Umm. Meskipun kitab al-Umm lebih dikenali sebagai kitab induk fiqh Mazhab Shafi’i, namun ia mengandungi data tersirat mengenai pentafsiran al-Quran. Kajian ini juga menerangkan hadith-hadith penting di bawah pentafsiran ayat taharah bagi membuktikan metodologi Imam al-Shafi’i adalah amat sinonim dengan penerapan Sunnah. Kajian ini penting dalam agenda mendedahkan bahawa pentafsiran Imam al-Shafi’i berperanan melahirkan perbahasan fiqh terutama dalam bab taharah. Kajian ini mengaplikasikan kaedah kualitatif yang menerapkan kaedah pengumpulan data daripada sumber manuskrip primer dan sekunder. Seterusnya data diproses dengan kaedah deduktif dan deskriptif bagi menerangkan dasar pentafsiran Imam al-Shafi’i berasaskan Sunnah dalam konteks ayat-ayat taharah. Dapatan kajian menerangkan bahawa Kitab al-Umm mempunyai pentafsiran ayat taharah pada hampir setiap bab kecil di bawah Bab al-Taharah. Pentafsiran adalah bersifat ma’thur lantaran sumber hadith sering dijadikan bahan pencerahan terhadap nas al-Quran biarpun Imam al-Shafi’i mempunyai beberapa kaedah lain selaku Ahli al-Ra’yi. Di samping itu, pentafsiran Imam al-Shafi’i menunjukkan keilmuannya yang luas dalam lapangan al-Quran dan Sunnah. Hadith-hadith yang diutarakan terdiri daripada sanad dalam pelbagai status hadith serta disusuli ijtihad fiqh yang kemudiannya telah menjadi sebahagian dasar dalam Mazhab Shafi’i.
Description
Proceedings of the 7th International Prophetic Conference (SWAN) 2020
FPQS,Universiti Sains Islam Malaysia, 29-30 October 2020
Paper No. BM014
320 - 332
Keywords
Pentafsiran,, Imam Al-Shafi’i,, Sunnah,, Taharah,, Kitab Al-Umm