Publication:
Tindak Tutur Perbualan bersama Golongan Badwi dan Ansar: Analisa Strategi Komunikasi Rasulullah

Research Projects

Organizational Units

Journal Issue

Abstract

Teori tindak tutur atau teori “speech act” mengkaji kata-kata yang diucapkan yang dilihat sebagai satu tindakan atau perbuatan. Pada masa yang sama, teori ini juga menyumbang kepada pemahaman penggunaan gaya dan strategi komunikasi. Artikel ini menganalisa perbandingan tindak tutur Nabi Muhammad SAW dengan golongan Badwi dan golongan Ansar. Pertama, sampel pertuturan Rasulullah, yang diambil daripada Sahih Bukhari, dianalisa menggunakan kategori tindak tutur oleh John Searle untuk melihat bagaimana fungsi pertuturan Rasulullah dengan dua golongan tersebut. Kedua, daya ilokusi Rasulullah dan implikasi pertuturan baginda berdasarkan ungkapan yang dipilih dianalisa untuk mendapatkan corak dan strategi komunikasi terhadap dua golongan tersebut. Analisa menunjukkan bahawa daya ilokusi Nabi Muhammad terhadap kaum Badwi dan Ansar dalam menyampaikan ajaran Islam adalah berbeza. Dapatan berdasarkan teori tindak tutur menunjukkan komunikasi Rasulullah bersama kaum Badwi lebih tertumpu kepada daya ilokusi arahan secara tidak langsung dengan penggunaan kata kiasan yang melambangkan cara komunikasi yang lebih sopan. Manakala ucapan tindak tutur Rasulullah kepada kaum Ansar lebih berbentuk pernyataan dan arahan secara langsung dan daya ilokusi yang lebih ekspresif. Faktor kefahaman dan kesediaan menerima ajaran Islam boleh menerangkan perbezaan pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah terhadap kedua-dua golongan ini. Masyarakat Badwi dilihat mempunyai pengetahuan yang amat sedikit atau tiada langsung berkaitan Islam dan tahap penerimaan ajaran Islam dalam kalangan mereka dilihat amat rendah. Berbeza dengan golongan Ansar, mereka sudah melakukan perjanjian angkat sumpah dengan Rasulullah sekaligus menunjukkan kesediaan dan keinginan yang tinggi untuk menerima Islam.

Description

Vol 35, No 3

Keywords

Teori tindak tutur, Rasulullah, komunikasi Islam, hadis, strategi

Citation